Followers

Friday, 7 January 2011

Interaksi PM di Laman Maya : Antara Fantasi & Realiti ....

Laman Sesawang : Dato' Seri Najib : http://www.1malaysia.com.my/


Ketika melayari internet semalam, barulah Paksu sedar bahawa rupanya PM kita, DS Najib ada pelbagai laman di 'alam maya' (maaf ye.. Paksu agak ketinggalan zaman sedikit rupanya..). Sebut sahaja apa laman sembang yang popular di Malaysia, maka akan adalah ruang untuk beliau. Contohnya :
  1. Facebook           :     http://www.facebook.com/najibrazak
  2. Twitter                :     http://twitter.com/najibrazak
  3. You tube             :     http://www.youtube.com/NajibRazak
  4. Flickr                  :     http://www.flickr.com/photos/najibrazak
  5. Website               :    http://www.1malaysia.com.my/
Sepanjang pengetahuan Paksu lah (betulkan jika ianya tidak benar..), belum ada satu pemimpin di Malaysia (terdahulu dan kini atau mungkin selama2nya...) atau rasanya di mana-mana negara pun di dunia yang sehebat itu...

Secara teorinya, ini akan memberi akses yang seluas-luasnya untuk semua rakyat Malaysia untuk dapat mendekati pemimpin nombor 1 negara ini. Hantarlah mesej atau apa sahaja ; dan ianya akan sampai ke pengetahuan beliau. Excellent....

Begitu juga, kita dapat melihat betapa sibuknya beliau dengan pelbagai aktiviti setiap hari - siang malam pagi petang subuh senja...Maksudnya, memang benarlah PM kita amat kuat bekerja demi rakyat dan negara. Itu pun excellent...

Kita pun faham, kemungkinan besar, DS Najib akan menggunakan semua pembantu / pegawai-pegawai khas / tugas khas / setiausaha dan sebagainya untuk tujuan tersebut kerana mustahil untuk beliau melakukannya sendiri (alamat tak tidur malam lah kalau nak buat itu semua on his own...)

Cuma apa yang diharapkan, kewujudan semua laman maya ini mencerminkan keprihatinan beliau terhadap isu dan masalah yang menimpa rakyat di negara ini. Kita tidak mahu ianya hanya retorik semata-mata atau sekadar melepaskan batuk di tangga.

Memang benar, antara kepincangan besar dan punca kekalahan BN dalam PRU 12 adalah kerana kurangnya keprihatinan kepimpinan parti terhadap apa yang berlaku di alam maya. Kewujudan laman-laman ini menunjukkan memang ianya telah diberi perhatian....

Namun begitu, akan menjadi malang sekiranya pengisiannya lebih tertumpu kepada propaganda atau sekadar menjadi ruang untuk mempromosi diri semata-mata. Jika ianya hanya berfungsi sedemikian, maka lebih baiklah kita menonton Berita RTM atau TV3 sahaja. Tak perlu membuang masa di laman maya...

Apa yang lebih penting ialah elemen interaktif. Maksudnya wujud unsur-unsur 'personal touch' di dalamnya. Kita semua sukakan Facebook / Twitter dan sebagainya kerana ia memenuhi cita rasa dan keperluan ini. Persoalan timbul, sejauh mana DS Najib terlibat dalam perjalanan dan aktiviti laman-laman tersebut? Berapa banyakkah masa yang diperuntukan oleh beliau untuk membaca isi hati rakyat dari pelbagai golongan masyarakat, baik di kota mahupun di desa, mereka yang berpangkat tinggi dan kaya raya atau orang-orang lain yang miskin dan papa kedana di negara kita ini...

Kalau ianya hanya dibaca oleh pembantu dan kuncu-kuncunya semata-mata, mungkin isu-isu sensitif atau yang tidak sedap didengar dek telinga tidak akan sampai ke pengetahuan pemimpin yang kita sayangi ini. Tak ubah seperti senario terdahulu dimana luahan rakyat kepada wakil / orang kuat / ketua cawangan / ketua bahagian / JKK dan sebagainya  kepada wakil rakyat / YB / Tan Sri / Dato' dan Pak Menteri hilang begitu sahaja...

Almaklum, kebanyakan mereka ini akan cuba untuk memberi gambaran bahawa semuanya OK di bawah ini (mungkin nak tunjukkan bahawa mereka ni dah jalankan tugas dengan baiknya), walhal apa yang sebenarnya berlaku adalah sebaliknya.. Ya Dato' , OK Dato', semua CLEAR Dato' , Tak payah risau Dato', semuanya dalam tangan Dato' merupakan ungkapan yang sering diucapkan. Akibatnya pemimpin berkenaan akan terus dibuai mimpi hingga lupa kepada rakyat yang menderita setiap hari....

Kalau benar, DS Najib bukan begini, barulah beliau boleh digelar pemimpin sejati. Jika tidak, maka tidak ada bezanya beliau dengan beribu pemimpin lain di Malaysia ini yang kebanyakannya syok sendiri di alam fantasi....

Selamat Datang Ke Blog Tinta Persona....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails