Followers

Thursday 17 September 2009

UMNO Kuala Kedah Perlu Bersatu

Masalah yang paling besar yang dihadapi dalam UMNO Kuala Kedah sekarang ialah perpecahan yang amat ketara. UMNO di Kuala Kedah sebenarnya cukup kuat. Barisan kepimpinan yang ada sekarang ini sebenarnya jauh lebih ampuh jika dibandingkan dengan mereka yang terdahulu. Namun apa yang mendukacitakan ialah keretakan yang berlaku di sana sini.

Y.Bhg Dato' Latt sebenarnya mengambilalih tampuk kepimpinan dalam keadaan UMNO yang paling lemah dalam sejarah. UMNO kalah di semua peringkat , baik Parlimen mahu pun Dewan Undangan Negeri dalam Pilihanraya 2008. Lebih mendukacitakan ialah perpecahan yang berlaku akibat daripada pemilihan UMNO di tahun yang sama.

Kini UMNO terpecah dua. Mereka yang menyokong kepimpinan Y.Bhg Dato' Latt dan satu kumpulan lagi yang menyokong bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian , Y.Bhg Dato' Hashim. Kumpulan yang kedua ini sebenarnya masih marah dan tidak dapat menerima hakikat kekalahan mereka dan cuba membuat pelbagai helah dan tohmahan demi untuk memburuk-burukkan kepimpinan yang baru. Semua yang dibuat serba tidak kena. Yang baik dikatakan buruk, yang jelas dikatakan kabur. Mereka sebenarnya lebih inginkan kepimpinan Dato' Latt ini berkubur!

Lebih merumitkan ialah apabila ramai dalam kalangan Ahli Jawatankuasa Bahagian yang menang dalam pemilihan UMNO Bahagian berasal daripada kumpulan yang kedua. Mereka dan kumpulan mereka ini telah lama bersama kepimpinan yang lalu dan dengan tanpa berselindung menyokong bekas Timbalan Ketua Bahagian tersebut. Mereka juga banyak mempengaruhi ketua-ketua cawangan dan ahli-ahli UMNO yang lain untuk tidak memberi sokongan padu kepada Dato' Latt dan barisan kempimpinan yang baru. Itu pun belum mengambilkira perpecahan yang melanda Puteri , Pemuda dan Wanita. Setiap sayap mempunyai tidak kurang daripada dua kem yang berbeza pendapat, pandangan dan haluan.

Oleh yang demikian, Dato' Latt sebenarnya berdepan dengan cabaran yang cukup getir. Diserang daripada depan dan belakang, daripada luar dan dalam parti. Sebagai orang yang boleh dikatakan baru, beliau jelas tersepit dalam kancah dan kerenah politik Kuala Kedah.

Kita semua akui bahawa beliau mempunyai azam yang cukup kuat untuk mengubah persepsi dan keadaan di Kuala Kedah. Kerajinan beliau untuk turun padang hampir setiap minggu walaupun sibuk dengan tugas harian sebagai Pegawai Tugas-tugas Khas Perdana Menteri harus dipuji. Bukan mudah untuk mendapat pemimpin sebegini.

Namun yang menyedihkan ialah segala usaha beliau dipandang sepi oleh sesetengah pihak. Masih dikeji dan dihamun. Masih dikatakan tidak membuat kerja dan tidak turun padang lagi. ''Itulah hangpa semua suka sangat pilih orang Kuala Lumpur . Nak jumpa dia pun susah'' merupakan antara ungkapan yang sering didengar.

Idealnya Dato' Latt tidak boleh seorang diri. Beliau harus dibantu oleh mereka yang dibawah. Beliau perlu 'delegate the authority' kepada Timbalan dan Naib Ketua yang sedia ada. Begitu juga kepada Setiausaha UMNO Bahagian, Ketua Wanita, Ketua Puteri dan Ketua Pemuda. Mereka harus bekerjasama dan membawa satu mesej yang sama.

Hakikatnya ini tidak berlaku. Timbalan dan Naib mempunyai agenda yang berbeza. Berasal daripada kumpulan yang berlainan. Masing-masing membawa agenda tersendiri. Masing-masing ingin menang dan menonjol diri. Juga masih berazam untuk dicalonkan dikemudian hari. Di hadapan, mungkin ada 'show of solidarity', tapi di belakang lain pula ceritanya. Begitu juga Ketua sayap-sayap yang lain. Mereka juga berdepan dengan masalah yang sama.

Kalau dikira dari segi kolektif, UMNO Kuala Kedah sebenarnya cukup hebat. Gandingan Ahli Jawatankuasa Bahagian yang lama dan baru dengan pengalaman yang begitu meluas boleh mengalahkan sesiapa sahaja yang dibawa oleh pembangkang. Masalahnya ialah mereka tidak bergerak seiringan. Mereka umpama enau dalam belukar , melepaskan pucuk masing-masing. Masing-masing ingin mencari populariti walaupun tidak sedar ianya membawa kemusnahan dalam parti. Pembangkang sebenarnya tidak sekuat mana. Mereka jelas tidak mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diberikan dengan baik. Tetapi bila UMNO terlalu lemah, ia menyebabkan mereka yang tidak sehebat mana boleh bermaharaja lela.

Bagaimana Dato' Latt ingin menumpukan kepada tugas-tugas lain kalau rumah tangga sendiri masih bercelaru. UMNO masih perlu dibaiki. Masih perlu diubati. Baru boleh beliau beralih kepada parti komponen yang seperti 'non-existent'. Juga kepada pengundi atas pagar dan pengundi muda. Banyak lagi agenda yang belum selesai.

Dato' Latt harus mengambil pendekatan yang berbeza. Perlu ada panel penasihat atau think tank yang mampu memberi pandangan yang independent dan tidak berkepentingan. Bukan hanya tertumpu kepada orang-orang keliling yang juga mempunyai agenda tersendiri. Beliau tidak memerlukan lebih ramai 'yes men' yang hanya pandai mengadu domba, sebaliknya lebih ramai orang-orang yang berani bersuara. Walau pun pahit untuk ditelan tetapi itulah realiti sebenarnya.

Setakat ini , beliau telah berjaya sedikit sebanyak memulihkan parti walaupun peratusannya masih rendah. But at the end of the day , it is better to start from scratch. 5% - 10 % improvement pun adalah satu pencapaian yang baik considering the state of things. Cuma apa yang dibimbangkan ialah sejauh mana atau sekuat mana Dato' Latt dapat meneruskan momentum yang sedia ada.

Perjuangan beliau masih belum selesai. Beliau masih memerlukan sokongan yang kuat untuk berjaya. Kalau beliau berjaya menyatupadukan UMNO Kuala Kedah semula, maka pembangkang pasti akan berputih mata. Namun jika sebaliknya, alamat pilihan raya akan datang kita semua akan kalah 4-o semula !

No comments:

Selamat Datang Ke Blog Tinta Persona....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails