Followers

Wednesday 16 September 2009

Patah Tumbuh Hilang Berganti

Paksu mendapat berita bahawa perlantikan Ketua Penerangan UMNO Kuala Kedah yang baru akan dibuat selepas Hari Raya Aidil Fitri ini. Khabarnya Y.Bhg Dato' Latt telah mendapat calon yang sesuai untuk menggantikan tempat Paksu. Tahniah diucapkan kepada bakal Ketua Penerangan yang baru. Paksu yakin beliau akan dapat melakukan yang terbaik untuk UMNO Kuala Kedah khasnya dan warga Kuala Kedah amnya.

Walaupun ada sebelum ini usaha daripada individu tertentu yang cuba menggambarkan seolah-olah Paksu inginkan jawatan itu kembali, namun ingin dijelaskan di sini bahawa Y.Bhg Dato' Latt sendiri telah pun menerima perletakan jawatan Paksu. Jadi persoalan inginkan jawatan atau ditawarkan jawatan itu semula tidak sepatutnya timbul lagi. Lagipun di Kuala Kedah ini , ramai orang yang jauh lebih berkaliber dan jauh lebih hebat daripada Paksu yang boleh dipilih oleh Y.Bhg Dato'. Individu yang telah dipilih itu semestinya 'berjiwa lebih kental dan lebih bijak berpolitik' daripada Paksu.

Paksu sedikit pun tidak berkecil hati walaupun sebelum ini banyak kritikan, tohmahan dan tuduhan yang dilemparkan kepada diri ini. Ada yang berkata bahawa Ketua Penerangan tidak perlu berpendidikan tinggi , sebaliknya perlu lebih bijak dalam politik. Pemilihan Paksu sememangnya daripada awal lagi ditentang hebat oleh golongan tertentu. Bagi mereka, Paksu ini terlalu mentah dalam politik.

Paksu mempunyai pendekatan yang mudah. Paksu tidak pernah meminta jawatan , jauh sekali melobi untuk mendapatkan jawatan. Ketika tenaga Paksu diperlukan, Paksu telah cuba lakukan yang terbaik dan berusaha sedaya upaya untuk memikul amanah yang diberikan. Namun bila telah tiba masanya untuk berundur, Paksu pergi dengan hati yang terbuka. Tidak ada hasad dengki atau dendam di hati.

Harapan Paksu agar Ketua Penerangan yang baru ini akan dapat meneruskan cabaran UMNO untuk menawan semula Kuala Kedah daripada Pakatan Rakyat. Jika dirasakan apa yang Paksu telah lakukan boleh membawa manafaat, teruskanlah. Jika ia dirasakan membuang masa atau tidak lagi relevan, buanglah jauh-jauh. Setiap individu dan pemimpin mempunyai cara dan pendekatan tersendiri. Jadi janganlah berasa terkongkong untuk berbuat sesuatu.

Tahniah sekali lagi dan Selamat Berjuang Demi Agama, Bangsa dan Negara

No comments:

Selamat Datang Ke Blog Tinta Persona....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails