Followers

Wednesday 16 September 2009

Sabotaj Atau Beralih Arah ?

Antara rumours atau khabar angin yang bertiup kencang selepas Paksu meletak jawatan baru-baru ini ialah kononnya Paksu telah beralih arah. Telah keluar daripada UMNO dan telah mula berjinak-jinak dengan mereka daripada Pakatan Rakyat. Ada juga yang menyalahtafsirkan sms yang Paksu hantar kepada para wartawan selepas perletakan jawatan tersebut sebagai bukti pembelotan dan hasad dengki Paksu untuk menjatuhkan kepimpinan UMNO yang sedia ada khususnya kepada Y.Bhg Dato' Latt.

Mungkin Paksu sendiri terkhilaf dalam hal ini. Mungkin juga Paksu terlalu naive hingga tidak dapat membaca kemungkinan ia akan menimbulkan fitnah dan salah sangka. Paksu juga mengakui bahawa mungkin cara Paksu menangani isu perletakan jawatan bukan cara yang terbaik.

Walaubagaimanapun apa yang jelas ia merupakan fitnah semata-mata. Paksu masih kekal seperti dahulu. Hanya tidak lagi mempunyai apa-apa jawatan atau kepentingan dalam UMNO. Paksu tidak pernah keluar daripada UMNO. Masih kekal sebagai ahli biasa. Paksu juga tidak pernah berjinak-jinak dengan parti lain. Memang benar, Paksu mempunyai ramai kenalan dan saudara yang lebih cenderung kepada Pakatan Rakyat, namun hingga kini, jiwa Paksu masih belum berubah.

Sms kepada wartawan adalah isu yang tidak sepatutnya ditimbulkan. Tujuan Paksu hanya satu. Ingin memaklumkan kepada mereka bahawa Paksu telah meletak jawatan dan berterima kasih di atas segala jasa baik dan kerjasama yang mereka berikan kepada Paksu selama memegang jawatan Ketua Penerangan. Paksu menghantar sms kepada mereka untuk memperkenalkan diri ketika mula memegang jawatan. Oleh itu tidak salah rasanya jika Paksu berbuat perkara yang sama apabila telah meletak jawatan. Itu dibuat atas dasar tanggungjawab. Bukan ingin menangguk di air yang keruh.

Tidak ada niat lain di sebalik itu. Tidak ada udang di sebalik batu. Bukan bertujuan untuk memburukkan Y.Bhg Dato' Latt atau barisan kepimpinan UMNO yang sedia ada. Bukan juga bertujuan untuk menonjol atau membangga diri. Bila masa pula Paksu berura-ura nak buat press conference? Paksu ni bukan pemimpin besar atau tokoh politik. Paksu sedar siapa diri ini. Paksu hanya insan biasa , umpama malukut di tepi gantang , ada tiada pun tidak memberi sebarang kesan.

Usahlah diperbesarkan perkara sebegini. Mengapa perlu prasangka buruk? Paksu bukan mengejar pangkat atau kedudukan. Paksu telah lama hidup berdikari. Tidak pernah meminta dihormati atau disanjungi. Cukup lah dengan apa yang dikurniakan oleh Allah SWT selama ini.

No comments:

Selamat Datang Ke Blog Tinta Persona....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails