Followers

Sunday 18 October 2009

Seperti Enau Dalam Berlukar Melepaskan Pucuk Masing-Masing

UMNO sebenarnya adalah satu parti yang cukup kuat dan cukup hebat. Sejarah telah membuktikan bahawa ia telah berjaya melahirkan pemimpin yang berkaliber dan berkarisma. Kita semua tidak boleh menafikan semua ini dan kita juga tidak boleh menidakkan kekuatan UMNO sebagai satu parti yang telah memerintah negara ini lebih daripada setengah abad lamanya.

Kenapa pula sekarang UMNO semakin lemah? Kenapa UMNO tidak lagi berjaya memenangi pilihan raya walhal ia masih mempunyai pemimpin-pemimpin yang masih hebat. Lihat saja dalam mana-mana bahagian UMNO , pastinya akan ada pemimpin UMNO yang cukup berpengalaman , hebat dan mempunyai kekuatan yang cukup menakjubkan. Namun kenapa secara kolektif , UMNO masih kalah?

Jawapannya mudah sahaja. UMNO tidak bersatu. Pemimpin UMNO lebih selesa dengan cara mereka sendiri. Masing-masing tidak mahu berkompromi. Masing-masing tidak mahu bergabung menjadi satu pasukan.

Telalu banyak paranoia sesama sendiri. Terlalu banyak hasad dengki dan agenda peribadi. Setiap orang ingin berjaya. Oleh yang demikian ia menjadi satu perlumbaan siapa dulu yang akan sampai ke garis penamat. Siapa yang akan dipilih menjadi calon. Siapa yang akan menjadi Ketua Bahagian dan sebagainya.

Umum mengetahui jawatan dalam politik itu penting. Ia juga diikuti dengan pelbagai kemewahan dan keistimewaan. Menjawat jawatan dalam parti bererti peluang untuk menjadi kaya raya akan terbuka dengan luasnya. Ini bukan lawak jenaka . Ia adalah satu rahsia yang telah lama diketahui semua.

Maka setiap orang akan mencuba pelbagai cara untuk berjaya. Setiap orang akan menjadi umpama enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Setiap orang juga akan cuba menghancurkan pesaing mereka. Tidak ada sesiapa yang boleh dianggap rakan sejati dalam politik. Hari ini mungkin si A akan berbaik dengan si B untuk menjatuhkan si C. Namun jangan terkejut kalau beberapa hari kemudian, si B pula bergabung dengan si C untuk menjahanamkan si A.

Itu adalah lumrah politik di negara ini. Masing-masing berkepentingan dan ada visi sendiri. Jika tidak dicalonkan, maka sesiapa saja yang dipilih biarpun rakan baik sendiri akan cuba dihancurkan dan dikalahkan.

Beginilah sikap pemimpin UMNO masa kini dan itulah yang menyebabkan UMNO kalah. Pembangkang sebenarnya tidak sekuat mana. Cuma UMNO sahaja yang menjadi lemah kerana pemimpin dan ahlinya terlalu leka dan selesa dengan agenda untuk memewahkan diri. Mereka telah lupa bahawa rakyat sepatutnya didahulukan bukannya kocek mereka sendiri.

Mungkin selepas ini mereka akan berubah. UMNO sememangnya perlukan perubahan . UMNO perlukan pemimpin yang sejati bukan yang mementingkan diri . UMNO juga memerlukan perpaduan dan bukannya perpecahan.

Bolehkah ini berlaku? Mampukah UMNO menzahirkan perubahan seperti yang dituntut oleh Presidennya? Jika ya, bolehkah ia dilakukan sebelum Pilihan raya Umum ke 13? Kata-kata tidak akan membawa makna jika tidak dikota.

Sama-samalah kita tunggu dan lihat. Selamat Berubah !

No comments:

Selamat Datang Ke Blog Tinta Persona....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails