Followers

Monday 28 September 2009

Hipokrit Dalam Politik.

Dalam arena politik masa kini, hipokrit adalah satu aset utama yang perlu ada dalam setiap daripada mereka yang ingin berjaya dalam bidang ini. Walau pun ianya merupakan sesuatu yang buruk dan seharusnya dibuang sejauh mungkin, namun hakikatnya ia amat berleluasa.

Lihatlah ramai pemimpin politik masa kini. Bermuka-muka di hadapan orang ramai. Berpura-pura simpati adalah fenomena biasa. Masing-masing ingin menunjukkan sifat caring dan empathy walaupun ia sekadar lakonan semata-mata.

Maka kedengaranlah kata-kata seperti - 'kita harus membantu semua anak-anak yatim, ibu tunggal dan mereka yang tidak bernasib baik setiap masa dan setiap ketika , tidak kira di mana sahaja mereka berada...' , ' kita akan sentiasa membela nasib mereka' dan seumpamanya.

Lalu diberikanlah beras sekampit dua, kain pelikat atau kain batik sehelai dua, susu setin dua dan hamper hampir setinggi manusia.. Berlumba-lumbalah mereka mencari pemberita, supaya nama dan gambar mereka terpampang di akhbar seluruh negara. Selepas itu mereka pun mendabik dada. 'Akulah pembela agama dan bangsa... Dan jangan lupa calonkan aku di pilihan raya yang akan datang ya...' . Berikan aku projek berjuta -juta supaya aku menjadi lebih kaya raya'

Fenomena ini bukan sahaja berlaku dalam kalangan pemimpin UMNO khasnya dan Barisan Nasional amnya, bahkan ia telah menjadi ikutan dalam kalangan pemimpin pembangkang juga. Pasanglah banner dan sepanduk merata-rata.

"Wajah aku perlu dilihat oleh rakyat jelata. Kenalilah aku sekarang juga. Semoga impianku menjadi calon akan tercapai jua..."

Ini sebenarnya yang tersirat dalam poster, keratan akhbar dan sebagainya. Bukan keikhlasan untuk berbakti kepada agama, bangsa dan negara. Menderma bukan perlu dihebahkan sedemikian rupa. Ada ulama yang berkata, perkara sedemikian harus dibuat dalam keadaan seperti semut hitam yang berjalan di waktu malam. Ertinya , tidak payah ada kamera dan hebahan merata-rata. Takut niat kita yang ikhlas akan menjadi riak dan bangga diri.

Aku kaya raya dan berharta. Pilihlah aku jadi ketua kamu. Akan ku taburkan lagi duitku yang berjuta ini...

Akhirnya nanti , derma kita akan menjadi sia-sia..

Namun hakikatnya , itulah yang disukai oleh pemimpin politik masa kini. Orang atasan perlu tahu akan kebaikanku supaya namaku akan diingati di waktu pilihan raya nanti. Orang-orang bawah ini senang saja untuk dimenangi. Campakkan duit dan hamper - memujilah mereka akan diriku melangit tingginya.

Sampai bila kita semua harus diperbodohkan begini? Apakah mereka yang bersifat begini perlu diangkat menjadi pemimpin. Mereka yang hanya pandai bercakap dan membangga diri. Bila disuruh bekerja, mereka lari menjauhkan diri. Akulah pemimpin yang sejati...tapi masalah kamu semua , pandai-pandailah tanggung sendiri...

Aku mahu popular. Aku mahu penghormatan. Aku mahu jawatan. Aku mahu projek yang berjuta-juta. Aku mahu isteri dua tiga....Pilihlah aku. Akan ku berikan duit kopi dan wang untuk kamu semua bergembira.

Lantaklah apa hendak jadi kepada bangsa sendiri. Mereka itu bodoh dan tak perlu ditolong lagi. Bila masa mengundi dah tiba, bagilah kepada mereka duit seratus dua. Mereka akan terus menurut kata kita....Waktu sekarang ialah waktu untuk kita bersuka ria. Memenuhkan kocek sebanyak mungkin. Pijaklah kepala mana yang perlu untuk memuaskan nafsu diriku.

Itulah senario sebenar politik tanahair kita masa kini. Selagi kita sebagai rakyat tidak mahu berubah atau mengubah keadaan, ia akan menjadi lebih parah di masa akan datang. Pemimpin datang , pemimpin pergi. Malangnya perangai mereka sama sahaja. Untuk mencari pemimpin yang suci dan bermaruah, mungkin ada satu dalam seribu!

Thursday 17 September 2009

Jangan Buat Terlalu Banyak Program!

Baru-baru ini Paksu ada berjumpa seorang veteran UMNO Kuala Kedah yang sangat-sangat Paksu hormati. Beliau banyak memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada Paksu terutama ketika aktif dalam politik.

Menariknya, beliau berkata salah satu kesilapan besar yang Paksu buat semasa menjadi Ketua Penerangan ialah membuat terlalu banyak aktiviti. Ia merupakan sesuatu yang tidak disukai khususnya oleh sesetengah orang kuat atau orang lama UMNO yang lain. Paksu sepatutnya tidak terlalu menonjolkan diri kerana ia membuatkan imej mereka akan tercalar kerana mereka tidak berbuat apa-apa langsung. Itulah punca utama mereka tidak sukakan Paksu. Maruah mereka tercabar and that is something which was not acceptable. Paksu dilihat sebagai satu ancaman atau musuh dan bukannya sebagai sahabat atau rakan. Paksu merupakan orang baru yang perlu melalui apa yang mereka telah lalui. Paksu perlu banyak menonjolkan mereka dan bukannya diri sendiri.

Paksu termenung panjang bila mendengar nasihat tersebut. Adakah sebelum ini Paksu benar-benar cuba menonjolkan diri atau cuba mempopularkan diri sendiri? Adakah dengan membuat banyak aktiviti, ia merupakan sesuatu kesalahan? Paksu musykil dan keliru kerana sebelum ini Paksu telah cuba sedaya upaya untuk hanya mengambil tempat di belakang tabir.

Dalam sebarang aktiviti, Ketua Bahagian akan semestinya Paksu dahulukan. Jika beliau tidak ada , sesiapa yang telah diamanahkan oleh beliau akan Paksu tolak ke hadapan. Biar Paksu di belakang kerana Paksu bukan inginkan publisiti. Apa yang penting ialah mesej yang ingin disampaikan itu jelas dan menepati sasaran. Paksu sendiri tidak pernah berminat untuk menjadi lebih daripada itu. Itu adalah sesuatu yang Paksu pegang sejak daripada hari pertama Paksu memegang jawatan tersebut.

Namun mungkin ada tindakan Paksu disalah ertikan. Mungkin ada tingkahlaku Paksu yang telah mengguris perasaan. Jika itulah apa yang telah berlaku, ampun dan maaf Paksu pohonkan. Mungkin ada hikmahnya Paksu meletak jawatan kerana kini sudah tiada lagi tuduhan dan tohmahan. Tiada lagi kata-kata nista yang menghiris perasaan.

Mereka yang sebelum ini pernah berbuat demikian boleh terus bertepuk tangan dengan penuh kegembiraan. Biarkanlah mereka dengan dunia mereka. Biarkanlah mereka dibuai mimpi-mimpi indah kerana telah berjaya membuat Paksu berundur diri. Paksu tidak pernah berasa kalah atau pun rugi. Seperti kata Paksu dulu, patah tumbuh hilang berganti. Satu pergi , beribu yang akan menawarkan diri.

Hakikatnya, seperti kata Tun Mahathir, pemimpin datang pemimpin pergi. Yang lebih penting adalah parti. Dalam hidup ini, jika merasa diri tidak lagi diperlukan lagi, lebih baik kita mengudur diri sebelum kita diminta pergi !

Masa Untuk Bermaaf-maafan

Sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang ini, Paksu ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri dan memohon ampun dan maaf jika terdapat sebarang kesilapan dan kesalahan kepada sesiapa sahaja yang mengenali diri Paksu dan keluarga.

Paksu berharap agar hari yang mulia itu akan membuka lembaran baru dalam politik Kuala Kedah. Semua kita tentu ingin melihat dua pemimpin besar (Y.Bhg Dato Latt & Dato' Hashim) dalam UMNO Kuala Kedah berbaik-baik semula.

Bagi Paksu tidak ada gunanya meneruskan sengketa. Tidak ada ruginya kalau mana-mana pihak menghulurkan tangan dahulu memohon kemaafan. Ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Mengalah bukan bererti kalah dalam kamus Paksu. Lagipun apabila dua gajah bergaduh , pelanduk akan mati di tengah-tengah. Bila dua pemimpin sudah berdamai, Insya Allah, kita semua akan dapat maju kehadapan. Buanglah yang keruh, ambillah yang jernih.

Pemimpin datang dan pergi bersilih ganti. Ada masa kita di atas dan ada masa kita di bawah. Jangan hanya mementingkan diri dan muslihat peribadi. Sebaliknya kepentingan rakyat, agama dan negara harus menjadi keutamaan.

SELAMAT HARI RAYA - MAAF ZAHIR DAN BATIN

UMNO Kuala Kedah Perlu Bersatu

Masalah yang paling besar yang dihadapi dalam UMNO Kuala Kedah sekarang ialah perpecahan yang amat ketara. UMNO di Kuala Kedah sebenarnya cukup kuat. Barisan kepimpinan yang ada sekarang ini sebenarnya jauh lebih ampuh jika dibandingkan dengan mereka yang terdahulu. Namun apa yang mendukacitakan ialah keretakan yang berlaku di sana sini.

Y.Bhg Dato' Latt sebenarnya mengambilalih tampuk kepimpinan dalam keadaan UMNO yang paling lemah dalam sejarah. UMNO kalah di semua peringkat , baik Parlimen mahu pun Dewan Undangan Negeri dalam Pilihanraya 2008. Lebih mendukacitakan ialah perpecahan yang berlaku akibat daripada pemilihan UMNO di tahun yang sama.

Kini UMNO terpecah dua. Mereka yang menyokong kepimpinan Y.Bhg Dato' Latt dan satu kumpulan lagi yang menyokong bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian , Y.Bhg Dato' Hashim. Kumpulan yang kedua ini sebenarnya masih marah dan tidak dapat menerima hakikat kekalahan mereka dan cuba membuat pelbagai helah dan tohmahan demi untuk memburuk-burukkan kepimpinan yang baru. Semua yang dibuat serba tidak kena. Yang baik dikatakan buruk, yang jelas dikatakan kabur. Mereka sebenarnya lebih inginkan kepimpinan Dato' Latt ini berkubur!

Lebih merumitkan ialah apabila ramai dalam kalangan Ahli Jawatankuasa Bahagian yang menang dalam pemilihan UMNO Bahagian berasal daripada kumpulan yang kedua. Mereka dan kumpulan mereka ini telah lama bersama kepimpinan yang lalu dan dengan tanpa berselindung menyokong bekas Timbalan Ketua Bahagian tersebut. Mereka juga banyak mempengaruhi ketua-ketua cawangan dan ahli-ahli UMNO yang lain untuk tidak memberi sokongan padu kepada Dato' Latt dan barisan kempimpinan yang baru. Itu pun belum mengambilkira perpecahan yang melanda Puteri , Pemuda dan Wanita. Setiap sayap mempunyai tidak kurang daripada dua kem yang berbeza pendapat, pandangan dan haluan.

Oleh yang demikian, Dato' Latt sebenarnya berdepan dengan cabaran yang cukup getir. Diserang daripada depan dan belakang, daripada luar dan dalam parti. Sebagai orang yang boleh dikatakan baru, beliau jelas tersepit dalam kancah dan kerenah politik Kuala Kedah.

Kita semua akui bahawa beliau mempunyai azam yang cukup kuat untuk mengubah persepsi dan keadaan di Kuala Kedah. Kerajinan beliau untuk turun padang hampir setiap minggu walaupun sibuk dengan tugas harian sebagai Pegawai Tugas-tugas Khas Perdana Menteri harus dipuji. Bukan mudah untuk mendapat pemimpin sebegini.

Namun yang menyedihkan ialah segala usaha beliau dipandang sepi oleh sesetengah pihak. Masih dikeji dan dihamun. Masih dikatakan tidak membuat kerja dan tidak turun padang lagi. ''Itulah hangpa semua suka sangat pilih orang Kuala Lumpur . Nak jumpa dia pun susah'' merupakan antara ungkapan yang sering didengar.

Idealnya Dato' Latt tidak boleh seorang diri. Beliau harus dibantu oleh mereka yang dibawah. Beliau perlu 'delegate the authority' kepada Timbalan dan Naib Ketua yang sedia ada. Begitu juga kepada Setiausaha UMNO Bahagian, Ketua Wanita, Ketua Puteri dan Ketua Pemuda. Mereka harus bekerjasama dan membawa satu mesej yang sama.

Hakikatnya ini tidak berlaku. Timbalan dan Naib mempunyai agenda yang berbeza. Berasal daripada kumpulan yang berlainan. Masing-masing membawa agenda tersendiri. Masing-masing ingin menang dan menonjol diri. Juga masih berazam untuk dicalonkan dikemudian hari. Di hadapan, mungkin ada 'show of solidarity', tapi di belakang lain pula ceritanya. Begitu juga Ketua sayap-sayap yang lain. Mereka juga berdepan dengan masalah yang sama.

Kalau dikira dari segi kolektif, UMNO Kuala Kedah sebenarnya cukup hebat. Gandingan Ahli Jawatankuasa Bahagian yang lama dan baru dengan pengalaman yang begitu meluas boleh mengalahkan sesiapa sahaja yang dibawa oleh pembangkang. Masalahnya ialah mereka tidak bergerak seiringan. Mereka umpama enau dalam belukar , melepaskan pucuk masing-masing. Masing-masing ingin mencari populariti walaupun tidak sedar ianya membawa kemusnahan dalam parti. Pembangkang sebenarnya tidak sekuat mana. Mereka jelas tidak mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diberikan dengan baik. Tetapi bila UMNO terlalu lemah, ia menyebabkan mereka yang tidak sehebat mana boleh bermaharaja lela.

Bagaimana Dato' Latt ingin menumpukan kepada tugas-tugas lain kalau rumah tangga sendiri masih bercelaru. UMNO masih perlu dibaiki. Masih perlu diubati. Baru boleh beliau beralih kepada parti komponen yang seperti 'non-existent'. Juga kepada pengundi atas pagar dan pengundi muda. Banyak lagi agenda yang belum selesai.

Dato' Latt harus mengambil pendekatan yang berbeza. Perlu ada panel penasihat atau think tank yang mampu memberi pandangan yang independent dan tidak berkepentingan. Bukan hanya tertumpu kepada orang-orang keliling yang juga mempunyai agenda tersendiri. Beliau tidak memerlukan lebih ramai 'yes men' yang hanya pandai mengadu domba, sebaliknya lebih ramai orang-orang yang berani bersuara. Walau pun pahit untuk ditelan tetapi itulah realiti sebenarnya.

Setakat ini , beliau telah berjaya sedikit sebanyak memulihkan parti walaupun peratusannya masih rendah. But at the end of the day , it is better to start from scratch. 5% - 10 % improvement pun adalah satu pencapaian yang baik considering the state of things. Cuma apa yang dibimbangkan ialah sejauh mana atau sekuat mana Dato' Latt dapat meneruskan momentum yang sedia ada.

Perjuangan beliau masih belum selesai. Beliau masih memerlukan sokongan yang kuat untuk berjaya. Kalau beliau berjaya menyatupadukan UMNO Kuala Kedah semula, maka pembangkang pasti akan berputih mata. Namun jika sebaliknya, alamat pilihan raya akan datang kita semua akan kalah 4-o semula !

Wednesday 16 September 2009

Patah Tumbuh Hilang Berganti

Paksu mendapat berita bahawa perlantikan Ketua Penerangan UMNO Kuala Kedah yang baru akan dibuat selepas Hari Raya Aidil Fitri ini. Khabarnya Y.Bhg Dato' Latt telah mendapat calon yang sesuai untuk menggantikan tempat Paksu. Tahniah diucapkan kepada bakal Ketua Penerangan yang baru. Paksu yakin beliau akan dapat melakukan yang terbaik untuk UMNO Kuala Kedah khasnya dan warga Kuala Kedah amnya.

Walaupun ada sebelum ini usaha daripada individu tertentu yang cuba menggambarkan seolah-olah Paksu inginkan jawatan itu kembali, namun ingin dijelaskan di sini bahawa Y.Bhg Dato' Latt sendiri telah pun menerima perletakan jawatan Paksu. Jadi persoalan inginkan jawatan atau ditawarkan jawatan itu semula tidak sepatutnya timbul lagi. Lagipun di Kuala Kedah ini , ramai orang yang jauh lebih berkaliber dan jauh lebih hebat daripada Paksu yang boleh dipilih oleh Y.Bhg Dato'. Individu yang telah dipilih itu semestinya 'berjiwa lebih kental dan lebih bijak berpolitik' daripada Paksu.

Paksu sedikit pun tidak berkecil hati walaupun sebelum ini banyak kritikan, tohmahan dan tuduhan yang dilemparkan kepada diri ini. Ada yang berkata bahawa Ketua Penerangan tidak perlu berpendidikan tinggi , sebaliknya perlu lebih bijak dalam politik. Pemilihan Paksu sememangnya daripada awal lagi ditentang hebat oleh golongan tertentu. Bagi mereka, Paksu ini terlalu mentah dalam politik.

Paksu mempunyai pendekatan yang mudah. Paksu tidak pernah meminta jawatan , jauh sekali melobi untuk mendapatkan jawatan. Ketika tenaga Paksu diperlukan, Paksu telah cuba lakukan yang terbaik dan berusaha sedaya upaya untuk memikul amanah yang diberikan. Namun bila telah tiba masanya untuk berundur, Paksu pergi dengan hati yang terbuka. Tidak ada hasad dengki atau dendam di hati.

Harapan Paksu agar Ketua Penerangan yang baru ini akan dapat meneruskan cabaran UMNO untuk menawan semula Kuala Kedah daripada Pakatan Rakyat. Jika dirasakan apa yang Paksu telah lakukan boleh membawa manafaat, teruskanlah. Jika ia dirasakan membuang masa atau tidak lagi relevan, buanglah jauh-jauh. Setiap individu dan pemimpin mempunyai cara dan pendekatan tersendiri. Jadi janganlah berasa terkongkong untuk berbuat sesuatu.

Tahniah sekali lagi dan Selamat Berjuang Demi Agama, Bangsa dan Negara

Sabotaj Atau Beralih Arah ?

Antara rumours atau khabar angin yang bertiup kencang selepas Paksu meletak jawatan baru-baru ini ialah kononnya Paksu telah beralih arah. Telah keluar daripada UMNO dan telah mula berjinak-jinak dengan mereka daripada Pakatan Rakyat. Ada juga yang menyalahtafsirkan sms yang Paksu hantar kepada para wartawan selepas perletakan jawatan tersebut sebagai bukti pembelotan dan hasad dengki Paksu untuk menjatuhkan kepimpinan UMNO yang sedia ada khususnya kepada Y.Bhg Dato' Latt.

Mungkin Paksu sendiri terkhilaf dalam hal ini. Mungkin juga Paksu terlalu naive hingga tidak dapat membaca kemungkinan ia akan menimbulkan fitnah dan salah sangka. Paksu juga mengakui bahawa mungkin cara Paksu menangani isu perletakan jawatan bukan cara yang terbaik.

Walaubagaimanapun apa yang jelas ia merupakan fitnah semata-mata. Paksu masih kekal seperti dahulu. Hanya tidak lagi mempunyai apa-apa jawatan atau kepentingan dalam UMNO. Paksu tidak pernah keluar daripada UMNO. Masih kekal sebagai ahli biasa. Paksu juga tidak pernah berjinak-jinak dengan parti lain. Memang benar, Paksu mempunyai ramai kenalan dan saudara yang lebih cenderung kepada Pakatan Rakyat, namun hingga kini, jiwa Paksu masih belum berubah.

Sms kepada wartawan adalah isu yang tidak sepatutnya ditimbulkan. Tujuan Paksu hanya satu. Ingin memaklumkan kepada mereka bahawa Paksu telah meletak jawatan dan berterima kasih di atas segala jasa baik dan kerjasama yang mereka berikan kepada Paksu selama memegang jawatan Ketua Penerangan. Paksu menghantar sms kepada mereka untuk memperkenalkan diri ketika mula memegang jawatan. Oleh itu tidak salah rasanya jika Paksu berbuat perkara yang sama apabila telah meletak jawatan. Itu dibuat atas dasar tanggungjawab. Bukan ingin menangguk di air yang keruh.

Tidak ada niat lain di sebalik itu. Tidak ada udang di sebalik batu. Bukan bertujuan untuk memburukkan Y.Bhg Dato' Latt atau barisan kepimpinan UMNO yang sedia ada. Bukan juga bertujuan untuk menonjol atau membangga diri. Bila masa pula Paksu berura-ura nak buat press conference? Paksu ni bukan pemimpin besar atau tokoh politik. Paksu sedar siapa diri ini. Paksu hanya insan biasa , umpama malukut di tepi gantang , ada tiada pun tidak memberi sebarang kesan.

Usahlah diperbesarkan perkara sebegini. Mengapa perlu prasangka buruk? Paksu bukan mengejar pangkat atau kedudukan. Paksu telah lama hidup berdikari. Tidak pernah meminta dihormati atau disanjungi. Cukup lah dengan apa yang dikurniakan oleh Allah SWT selama ini.

Tidak Ada Guna Kita Bersengketa

Paksu sebenarnya belum cukup bersedia untuk kembali ke arena blog ini. Dulu sememangnya Paksu seorang yang cukup aktif meluahkan pendapat terutama dalam bidang politik. Namun ia lebih tertumpu kepada memberi pendapat dalam blog orang lain. Blog seperti depa kata - http://depa-kata.blogspot.com/ dan medan tempur - http://umnokualakedah.blogspot.com/ menjadi ruang utama meluahkan perasaan.

Cuma setelah menjadi Ketua Penerangan UMNO Kuala Kedah, Paksu mula berjinak-jinak di blog sendiri dan akhirnya lahirlah blog rasmi UMNO Kuala Kedah - http://umno-kualakedah.blogspot.com/ . Namun setelah Paksu meletak jawatan, ia telah diambilalih oleh orang lain. Kini ia di bawah tanggungjawab Setiausaha Kerja UMNO Kuala Kedah sementara menanti perlantikan Ketua Penerangan yang baru.

Mulai saat itu, Paksu memilih untuk menyepi diri. Terlalu banyak life-events yang telah berlaku dalam hidup Paksu dan keluarga dalam tempoh dua tiga bulan yang lalu, hampir serentak dengan perletakan jawatan Paksu dalam politik. Dicampur dengan luka yang masih berdarah dan hati yang masih terguris, Paksu mengambil pendekatan untuk menjauhkan diri dari politik untuk seketika.

Ucapan Salam Pembuka Bicara

Paksu mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan kurnia Nya blog ini telah berjaya dihasilkan. Paksu bukanlah orang yang terlalu arif dalam bidang IT ini. Belajar pun sendiri-sendiri sahaja.

Walau bagaimanapun , Paksu rasa ia adalah satu saluran yang baik untuk berbicara dan meluahkan apa yang terbuku di jiwa. Paksu bukanlah pakar dalam semua bidang yang akan diperkatakan, tapi sebagai seorang insan , Paksu mempunyai cara dan pemikiran yang tersendiri. Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan Paksu atau ada juga yang bersetuju. Bagi Paksu, everyone is entitled to his or her own opinion.

At the end of the day, apa yang kita lakukan akan dinilai oleh Allah SWT. Itu sahaja. So, tepuk dada , tanyalah selera !
Selamat Datang Ke Blog Tinta Persona....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails